Wednesday 25 May 2011

NUR KASIH ^_^


Assalamualaikum, pada ahad yang lepas, saya dan teman sebilik merancang untuk menonton filem kegemaran ramai iaitu NUR KASIH, hasil sentuhan Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa. Ternyata sungguh hebat sekali sambutan terhadap filem ini walaupun ketika itu kami pergi pada hari ketiga filem tersebut ditayangkan. Lakonan mantap 3 tunjang utama filem ini dan disertai dengan para pelakon pembantu yang lain amat berjaya membangkitkan emosi penonton. Walaupun terdapat sedikit kelemahan tetapi secara keseluruhannya filem ini berjaya digarap dengan baik serta sarat dengan mesej-mesej yang berunsurkan keagamaan dan kekeluargaan. Para penonton juga dinasihatkan supaya memberikan sepenuh tumpuan kepada setiap babak untuk menghayati mesej yang cuba disampaikan. Sekiranya terlepas satu babak, ia mungkin menyukarkan penonton untuk memahami babak seterusnya kerana setiap babak mempunyai kaitan di antara satu sama lain. Walaupun kepuasan yang dirasai berbeza ketika menonton drama NUR KASIH di televisyen tetapi saya amat berpuas hati kerana NUR KASIH THE MOVIE merupakan pengakhiran kepada drama NUR KASIH. Bagi saya, filem ini adalah terbaik yang pernah saya tonton kerana input yang disampaikan adalah secara halus dan amat menyentuh jiwa.

Tuesday 17 May 2011

SEMOGA BERJAYA !!!


Walaupun agak terlambat tetapi saya berasa terpanggil untuk menulis entri bagi mengisi kekosongan blog yang baru diwujudkan ini. Pada hari Isnin yang lepas, selesai menghadiri kuliah yang diberikan oleh PM Dr Misran Rokimin berkenaan subjek Penulisan Kreatif, saya bersama seorang teman terus menuju ke perpustakaan. Tujuannya adalah untuk mencari sedikit bahan bacaan yang boleh membantu kami dalam proses penghasilan cerpen yang menarik memandangkan kami tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang penulisan ini. Setelah beberapa jam membelek bahan bacaan tersebut, saya telah memilih beberapa cerpen dan novel yang menarik hasil karya beberapa orang penulis terkenal seperti Othman Puteh, Habiburrahman El Shirazy dan juga karya terbitan Kaki Novel Enterprise. Semoga dengan adanya bahan bacaan ini, ia dapat membantu saya dalam membuahkan idea seterusnya menghasilkan karya yang menarik untuk tatapan pembaca. SEMOGA BERJAYA !!!

Friday 13 May 2011

LAGU ???

Salam. Berjumpa lagi kita di entri yang kedua. Sedang saya keseorangan di bilik bercahayakan lampu kalimantang yang cerah serta berdendangkan alunan muzik yang kedengaran di radio, tiba-tiba saya teringat akan arahan daripada pensyarah PM Dr Mawar Shafei iaitu memilih sebuah lagu yang boleh dijadikan semangat dalam penulisan blog ini. Oleh itu, saya amat tertarik untuk memilih lagu GEMURUH nyanyian penyanyi kegemaran saya iaitu FAIZAL TAHIR. Entah mengapa, kali pertama lagu ini didendangkan, saya terus jatuh hati dan terus meminati kesemua lagu nyanyiannya. Secara kebetulan, lagu ini juga dijadikan sebagai lagu tema semasa minggu orientasi saya ketika Tahun Pertama di UKM. Semoga dengan pemilihan lagu ini, saya terus bersemangat dalam penulisan blog dan apa jua perkara yang akan dilakukan pada masa akan datang.
                       Yakin Boleh !!!


Friday 6 May 2011

PERCUBAAN PERTAMA


Assalamualaikum. Entri ini merupakan entri pertama saya dalam penulisan blog. Sebenarnya keinginan untuk membuat blog telah lama bermula cuma memandangkan tiada cerita menarik yang ingin disampaikan membuatkan keinginan ini berlalu begitu sahaja sehinggalah saya memasuki kelas Penulisan Kreatif iaitu subjek pilihan bebas. Kelas pertama yang diajar oleh Dr Mawar Shafei ini tidak kurang menariknya apabila semua pelajar diminta untuk membuat blog dan pada akhirnya akan menghasilkan sebuah cerpen berdasarkan entri-entri yang telah dipaparkan di blog masing-masing. Kesempatan ini juga akan digunakan sepenuhnya oleh saya untuk mendalami pelbagai perkara berkaitan penulisan blog agar kelihatan menarik dan tidak membosankan pembaca yang membaca entri di dalamnya. Saya berharap, dengan adanya kursus seperti ini, saya berjaya menjadi seorang blogger yang kreatif dan sedikit sebanyak membantu saya untuk memahirkan diri dalam menguruskan blog.